26 January 2013

KEBIMBANGAN

Zaman ini, terlalu banyak kebimbangan yang membelenggu masyarakat di negara kita. Terutamanya, para ibu bapa. Bimbang mengenai perkara apa? Ya, ketika ini negara kita digemparkan dengan berita kehilangan adik William Yau Zhen Zhong. Bukan hilang untuk sementara tapi kini hilang di pandangan mata untuk selama-lamanya. Ramai pihak tampil membantu mencari, tahniah diucapkan kerana masih ada kesedaran untuk memberikan bantuan dan sokongan. Namun, tiada apa lagi yang boleh dilakukan kerana segala-galanya telah pun terjadi. Takziah diucapkan kepada keluarganya. Amatlah diharapkan agar keluarga adik Zhen Zong tabah dan kuat mengharungi situasi sebegini. Diakui, ianya bukan mudah. Malah, akan mengambil masa yang agak lama bagi emosi mereka sekeluarga untuk pulih kembali.

Daripada kes-kes yang pernah berlaku, banyak iktibar yang boleh diambil sebagai pengajaran. Ibu bapa khususnya, perlu lebih berhati-hati dan mengutamakan keselamatan anak-anak walau di mana mereka berada. Kecuaian akan mengundang padah. Walaupun kita tidak nafikan bahawasanya manusia ini ada detik kelalaiannya dan kecuaiannya. Namun, langkah berjaga-jaga haruslah diambil agar perkara sebegini tidak berlaku. Tetapi, sebagai umat Islam hendaklah kita meletakkan kebergantungan yang utama kepada Allah SWT. Sentiasa minta semoga Allah SWT sentiasa memberikan perlindungan kepada kita. Allah lah satu-satunya tempat untuk kita bergantung di saat kita susah, senang, gundah gelana, tertekan dan sebagainya.

Selain itu, antara kebimbangan lain pada hari ini ialah kes penderaan kanak-kanak. Kenapa begitu banyak kes penderaan begini berlaku? Tidakkah kita sebagai manusia mempunyai pertimbangan dan perikemanusiaan? Kenapa mesti kanak-kanak tidak berdosa menjadi mangsa? Saya beranggapan individu yang melakukan penyeksaan kepada kanak-kanak baik dari segi emosi, mental dan fizikal adalah mereka yang mempunyai masalah kejiwaan yang perlu diberi rawatan. Rawatan yang bagaimana? Lihat sahajalah, kebanyakan kes penderaan dilakukan oleh teman lelaki si ibu. Terdapat juga ibu bapa kandung yang tergamak melakukan perbuatan sama kepada anak mereka. Ibu bapa yang bagaimanakah mereka? Mereka adalah ibu bapa yang mengutamakan nafsu melebihi segalanya. Mereka adalah individu yang mentaati iblis lebih daripada mentaati Tuhan yang mencipta mereka. Mereka adalah ibu bapa yang menyanjungi tekanan lebih daripada pertimbangan.

Apa yang membimbangkan adalah, kebanyakan kes-kes sebegini berlaku berlatarbelakangkan ibu bapa yang tidak berpegang pada ajaran agama. Jika ibu bapa menjadi lebih seimbang dari segi rohani dan mental, In Shaa Allah kehidupan anak-anak akan menjadi lebih terurus, terpelihara dan selamat.

Tidak ketinggalan juga, kita sekali lagi beberapa hari yang lalu digemparkan dengan berita berkenaan kes pemerdagangan kanak-kanak. Menjual bayi. Ya, itu yang terjadi dalam negara kita ini yang dikatakan ‘negara selamat dan aman’ di dunia. Bagaimana sanggup seorang manusia menggelapkan hati nurani mereka dengan wang ringgit semata-mata untuk mengejar kekayaan dunia? MasyaAllah.. Tidakkah mereka terfikir apa yang akan terjadi sekiranya itu adalah anak-anak mereka? Barangkali, disebabkan kanak-kanak dan bayi-bayi tersebut bukan milik mereka, maka tiada rasa prihatin dan perikemanusiaan dalam diri mereka.


Oleh itu, saya menyeru masyarakat terutamanya kita semua supaya menjadi manusia yang lebih prihatin dan berperikemanusiaan terhadap insan lain dengan mengamalkan sikap ambil berat dan ambil tahu terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita. Bantulah diri untuk menjadi seorang ‘insan’ kerana ianya lebih mulia.

Nauzubillah.. Semoga kita semua terhindar dari perkara-perkara dan peristiwa-peristiwa yang tidak diingini sebegini, sama ada menjadi mangsa atau sebagai pemangsa. Kita di akhir zaman, tidak mustahil esok adalah ‘hari mati’ untuk kita.

Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment