Assalamualaikum.
Dunia pekerjaan memang memberikan
pengaruh yang cukup terkesan dalam kehidupan. Apa tidaknya, satu pertiga
daripada kehidupan seharian diluangkan di tempat kerja.

Tekanan disebabkan pekerjaan merupakan interaksi kompleks di antara
persekitaran di tempat kerja, personaliti dan reaksi tubuh badan dan
mental seseorang. Persekitaran pekerjaan memberikan desakan dan tekanan
tertentu yang merangsang tindak balas individu secara mental dan
fizikal.
Tugas yang terlalu banyak, hubungan dengan rakan sekerja yang tidak
baik, ketua yang suka marah-marah dan suasana kerja yang tidak selesa
adalah contoh persekitaran kerja yang memberi tekanan negatif. Tekanan
ini seterusnya memberi impak terhadap kesihatan psikologi dan fisiologi
seseorang individu sekiranya ia tidak ditadbir dan tidak dikawal dengan
metodologi yang tepat.
Banyak implikasi negatif berlaku apabila seseorang
tidak dapat mengawal tekanan kerjanya. Panas baran, murung, gelisah,
kelesuan, sentiasa rasa bersalah, ketakutan, dan hilang tumpuan adalah
antara kesannya.
Kadang kala, ada dalam kalangan kita yang mencari jalan singkat dan
salah dalam mengatasi tekanan seperti ponteng kerja, melakukan masalah
disiplin di tempat kerja, merokok, meminum arak dan sebagainya.
Berlaku juga kes-kes di mana individu yang tertekan di tempat kerja
melepaskan tekanan di rumah yang mewujudkan pula masalah rumahtangga
seperti pertengkaran dengan pasangan hidup, mendera anak, dan
sebagainya.
Sebagai seorang Muslim, kita perlu sedar bahawa kaedah terbaik menangani
tekanan kerja sebegini adalah dengan berpegang erat kepada ajaran dan
syariat Islam.
Islam telah menetapkan bahawa seseorang yang menghadapi tekanan dan
kesusahan perlulah bersabar, tenang, sentiasa rasional dan yakin dengan
ketentuan Allah SWT.
Allah SWT telah memberikan panduan terbaik dalam menangani tekanan
sebegini melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 155-156,
maksudnya: "Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit
perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan
(dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil
tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar
(iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan,
mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada
Allah jualah kami kembali."
Sebagaimana ketentuan Allah SWT bahawa setiap apa yang ada di dunia ini
berpasangan, seperti mana siang dan malam atau lelaki dan perempuan,
begitu jugalah kesenangan dan kesukaran atau rahmat dan dugaan. Kita
harus menerima hakikat bahawa kehidupan manusia akan selalu diuji oleh
Allah SWT.
Kita perlu meletakkan keyakinan bahawa ujian seperti tekanan kerja
sebegini adalah bertujuan untuk memantapkan nilai-nilai keimanan,
ketaqwaan, kesyukuran dan rasa cinta kita kepada-Nya.
Apabila kita yakin, dengan izin Allah SWT, segala permasalahan yang
membelenggu diri akan dirungkaikan dan akhirnya kita berjaya menghadapi
tekanan dengan tenang dan berjaya.
Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Fath ayat 4
maksudnya: "(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dialah yang
menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang
beriman supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan
keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit
dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui,
lagi Maha Bijaksana.'
Kaedah
Banyak kaedah menghadapi tekanan kerja berlandaskan ajaran Islam yang cukup berkesan untuk diamalkan.
Pertamanya, menjaga solat fardu lima waktu dan memperbanyakkan solat sunat.

Banyak kajian pakar psikologi barat sendiri yang telah memperakukan
fadilat solat dalam memberi ketenangan jiwa dan pemikiran seseorang.
Menurut kesimpulan beberapa kajian sarjana barat, secara saintifiknya
solat merupakan suatu tempoh masa 'aman dan damai' di mana seluruh tubuh
dan minda seseorang terfokus kepada sesuatu (kepada Allah SWT).
Gerakan-gerakan dan keadaan minda dalam solat berupaya menghalang
pengaliran keluar hormon-hormon seperti Cortisol, Epinephrine dan
Norepinephrine daripada kelenjar adrenalin yang bertindak balas terhadap
sebarang tekanan.
Solat turut membantu memberi intervensi positif terhadap sistem
pernafasan, aliran oksigen dalam badan, degupan jantung, dan gelombang
otak.
Daripada konteks Islam, dengan mendirikan solat fardu lima waktu dan
dilengkapkan dengan amalan solat-solat sunat yang pelbagai, seseorang
itu akan diberikan pertolongan oleh Allah SWT dalam sebarang kesukaran
seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 153 maksudnya:
"Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan
bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah
menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.'
Berzikir seperti bertakbir, bertahmid, bertasbih

Keduanya dengan amalan berzikir seperti bertakbir, bertahmid, bertasbih
dan sebagainya merupakan amalan yang mampu menenangkan jiwa sebagaimana
jaminan Allah SWT dalam surah ar-Ra'd ayat 28 maksudnya: "(Iaitu)
orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan
zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati
manusia.'
Mendengar, membaca dan menghayati akan tafsir al-Quran
Ketiganya, mengamalkan mendengar, membaca dan menghayati akan tafsir
al-Quran. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa,
'al-Quran adalah penawar kepada kesakitan minda' (riwayat Bukhari).
Membaca al-Quran sendiri memberikan ketenangan kepada pembaca malah
kepada sesiapa yang mendengar bacaannya apatah lagi jika ayat-ayat Allah
itu difahami, dihayati dan dijadikan panduan dalam kehidupan. Ini
adalah kerana al-Quran (dan al-hadith) merupakan sumber teragung dalam
merungkaikan segala permasalahan manusia.
Keyakinan tentang kehidupan
Keempatnya, meletakkan keyakinan bahawa kehidupan dunia ini adalah sementara dan akhirat jua tempat yang kekal selama-lamanya.
Dengan cara ini, jiwa akan terasuh untuk menyedari bahawa apa sahaja
yang berlaku di dunia ini baik ia bersifat positif ataupun negatif
adalah sekadar 'warna kehidupan dunia yang tidak kekal lama' dan akan
mendapat balasan yang setimpalnya di akhirat kelak.
Tekanan yang dihadapi di tempat kerja akan menjadi sesuatu yang terlalu
kerdil jika dibandingkan dengan apa yang akan dihadapi di Padang Mahsyar
kelak. Diri kita akan sentiasa takutkan azab api neraka dan berusaha
mencari keredhaan-Nya dan dimasukkan ke dalam syurga.
Berdoa, Memohon keampunan dan Berserah kepada Allah

Kelimanya,
dengan amalan berdoa, memohon keampunan dan menyerahkan segala apa yang
telah diusahakan bagi mengatasi tekanan diri untuk ketentuan-Nya. Allah
SWT berfirman dalam surah al-Ghaafir ayat 60 bermaksud: Dan Tuhan kamu
berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa
permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada
beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan
hina."
Jika diri kita telah bersungguh-sungguh cuba mengatasi tekanan, mengikut
saluran dan kaedah yang tepat, maka kita juga perlu bersifat tawakkal
dan ikhlas menerima segala ketentuan-Nya.

Kesimpulannya, walau sebesar manapun masalah atau kesukaran yang
menyumbang kepada tekanan di tempat kerja, kita perlu sedar bahawa ianya
boleh dihadapi dengan jayanya jika tindak-tanduk kita menepati syariat
Islam.
Firman Allah SWT dalam surah al-Fajr, ayat 27-30 yang bermaksud: "Wahai
orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan
dan bawaan baiknya. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau
berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredai (di sisi
Tuhanmu). Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang
berbahagia. Dan masuklah ke dalam Syurgaku." Jika hati dan pemikiran
kita sentiasa bersandarkan kepada sifat tawaduk, yakin dan syukur kepada
Allah SWT, maka diri kita akan diberikan petunjuk dan hidayah-Nya dalam
menangani segala tekanan tersebut.
Okey, untuk hari ni saya cuma nak share tips ini sahaja. Sebab saya rasa ianya penting memandangkan kita saban hari berdepan dengan tekanan. Dan ianya tidak ditulis oleh saya. Saya mengambilnya daripada;
Moga bermanfaat.
Just sharing something good, perhaps.
Saranghae.